Seorang pelawak terkenal dilaporkan telah ditahan di Jeddah selepas dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah baru-baru ini.
Menurut laporan, pelawak terbabit dikatakan ditahan dua bulan yang lalu di Lapangan Terbang Jeddah dan masih berada dalam tahanan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Terdahulu, selebriti itu difahamkan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya namun dia ditahan apabila disyaki membawa bahan terlarang bersamanya.
Dalam pada itu, pelawak berkenaan dilihat masih aktif seperti biasa di media sosial dan sempat memuat naik beberapa hantaran baru namun ia dipercayai diuruskan oleh pihak pengurusannya.
Pelawak terbabit juga dikatakan bakal muncul dalam satu program televisyen yang telah dirakam lebih awal sebelum insiden penahanannya itu berlaku.
Setakat ini, cubaan media untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak berkuasa, persatuan dan keluarga pelawak terbabit masih belum berhasil.