Polis telah menahan tujuh pekerja syarikat kurier kerana disyaki terlibat dalam mencuri bungkusan dikirim pelanggan yang membabitkan kerugian sebanyak RM21,818.
Memetik laporan dari Sinar Harian, sindiket tersebut berjaya dihentikan susulan beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian tersebut disedari oleh pengurus keselamatan syarikat berkenaan apabila menerima aduan pelanggan menerima bungkusan kosong setelah penghantaran dibuat oleh syarikat kurier itu.
Pengurus tersebut telah membuat laporan polis setelah mendapati terlalu banyak laporan berkenaan bungkusan hilang telah diterima oleh syarikat tersebut.
Pengurus berkenaan membuat siasatan dalaman dan mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang serta mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan milik pelanggan.
Susulan itu, polis kemudian membuat beberapa serbuan dan menahan enam lelaki serta seorang wanita berumur 21 hingga 51 tahun.
Dia turut berkata, seorang lelaki dan wanita tempatan yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Khamis manakala baki lima lagi suspek direman empat hari sehingga 20 Januari.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.