Saya tuliskan latar belakang ringkas kami. Kami satu keluarga enam anak-beranak (ibu, bapa, dua abang, saya dan seorang adik perempuan). Kami semua lahir dan dibesarkan di Melbourne, Australia. Ibu dan bapa saya masih bekerja di sektor farmaseutikal, abang-abang dan saya pula masih belajar di universiti (semua di Universiti Monash). Adik saya baru hendak lulus sekolah tinggi (kami jangkakan dia akan dapat markah tertinggi, kerana adik saya memang rajin belajar).
Sekarang, kami sedang berada dalam cuti pertengahan tahun universiti dan sekolah. Sebagai habuan, ibu bapa saya telah mengambil cuti selama seminggu setengah dan tanya jika kami hendak melancong ke Asia Tenggara, khususnya Malaysia (Asia tenggara memang jadi pilihan pelancong Australia kerana tempat lain jauh dan masa banyak habis dalam kapal terbang sahaja).
Jadi kami bertolak ke Terminal 2, Lapangan Terbang Melbourne. Semuanya berjalan lancar (lancar untuk sekumpulan muslim haha. Beberapa kali kami menjalani pemeriksaan keselamatan tetapi kami dah biasa). Kami naik pesawat dan menikmati penerbangan enam jam tersebut.
Turun dari pesawat, kami daftar masuk hotel, makan malam, mandi dan bersedia untuk pengembaraan kami selama seminggu lebih. Saya jangkakan cuti ini santai dan merehatkan seperti yang saya harapkan, rupanya tidak.
Saya akan ceritakan perkara ganjil yang sedang berlaku. Fakta mengenai keluarga saya, kami pelancong standard, jenis yang gantung kamera pada leher. Kami tidak melencong dari perancangan biasa para pelancong. Kami tidak cari tempat eksotik, sama seperti pelancong normal lain dan kami tidak membuat perancangan secara spontan. Apa saja yang berlaku dalam hidup saya telah dirancang dengan teliti oleh ibu bapa saya dan saya pun sudah memiliki tabiat yang sama. Jadi, saya agak terkejut bila bapa saya kata, dari melawat Putrajaya, kami patut terus pandu saja, ke mana saja kereta akan bawa kami. Serius, bapa saya yang sentiasa guna jalan yang sama untuk memandu ke tempat kerjanya, telah mencadangkan sesuatu yang spontan dan mengarut iaitu (jika kamu tanya saya) satu perjalanan yang akan bawa kami ‘entah ke mana’. Apa yang pelik, semua orang setuju dengan cadangannya (walaupun berat hati) dan saya ikut terbawa-bawa dengan krisis pertengahan umur bapa itu.
Saya akan berkata jujur, saya tak rasa macam hendak mengembara ke dalam hutan Malaysia, jadi saya duduk saja di bilik hotel yang ada wifi percuma. Keluarga saya tidak menghalang, dan kami lakukan apa yang kami sudah putuskan. Saya rasa klise untuk berkata begini tetapi saya tak sedap hati. Saya rasa perjalanan itu takkan berakhir dengan baik untuk semua orang, dan saya rasa semuanya salah saya yang tidak meminta bapa saya untuk lupakan saja ideanya yang buruk itu.
Selepas lapan jam (mereka bertolak tengahari waktu tempatan) mereka masih belum pulang dan saya, sebagai seorang yang suka bimbang dan terlebih teliti mula berfikir sesuatu yang buruk sudah terjadi. Saya tiada sebarang cara untuk hubungi mereka dan saya membuat keputusan, jika mereka masih tidak pulang pada pukul 10.00 malam (10 jam selepas bertolak) saya akan membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan dan Kedutaan Australia. Pada pukul 9.20 malam saya dengar bunyi beep kad kunci dan semua ahli keluarga saya masuk ke bilik (atau terhoyong-hayang masuk, penerangan paling tepat) seolah-olah mereka baru belajar berjalan. Untuk menenangkan diri, saya fikir memandu selama 10 jam sudah tentu buat mereka jadi begitu. Mereka juga berbau busuk, sangat busuk yang sudah hendak saya gambarkan. Bau mereka seperti daging reput dan belerang. Saya masih berbaik sangka, bahawa mereka berjalan jauh dalam ruang tertutup. Mandi air panas pasti bau busuk itu hilang.
Mereka kembali ke hotel dan kerana letih, saya terus menghempas diri ke atas katil. Pada lebih kurang pukul 3.00 pagi saya terbangun dan apa yang saya lihat bukanlah sesuatu yang saya jangkakan. Walaupun kami masih ada masa seminggu dan sehari lagi untuk melancong di sini, saya lihat ‘keluarga saya’ sudah berkemas manakala ‘bapa’ saya sedang mendaftar keluar hotel di tingkat bawah, ‘Bapa’ naik semula ke bilik sambil tersengih macam kerang busuk (saya tak pernah lihat dia tersengih begitu sejak umur saya lima tahun) dan dia beritahu kami, dia dan ibu perlu pulang segera ke Melbourne kerana ada kerja yang tiba-tiba perlu diselesaikan.
Sekali lagi, saya tak mahu banyak tanya jadi saya ikut saja. Ahli keluarga saya masih berbau busuk dan tiada tanda-tanda bilik mandi sudah digunakan, tetapi seperti yang saya kata, saya tak gemar mempersoalkan orang mahupun apa-apa.
Kami daftar keluar, panggil teksi, dan terus je Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Semua barang kami didaftar keluar (tak sukar kerana mereka lihat passport Australia kami) dan kami terus naik pesawat. Di sinilah semuanya jadi aneh. Pada anda yang belum pernah mengembara ke Australia, setiap penumpang perlu mengisi kad perjalanan yang mengisytiharkan siapa diri anda dan apa yang anda bawa masuk ke dalam negara Australia. Kad ini perlu ada nama, tarikh lahir, nombor passport dan anda perlu jawab beberapa soalan tentang apa yang anda bawa. Ini tak mengejutkan, kami sudah sering melancong bersama jadi kami tahu apa hendak dibuat, cuma kali ini, ahli keluarga saya seolah-olah tak tahu cara pegang pen, apatah lagi untuk isi maklumat penting dalam kad. Selepas mereka menconteng kad dan menulis beberapa perkataan pelik macam tulisan Hebrew atau Cyrillic, saya putus asa dan terus isikan kad tersebut untuk semua ahli keluarga saya. Masa ini, saya memang dah rasa sangat takut.
Enam jam kemudian, kami turun pesawat, pergi ke kawalan kastam dan sempadan, dan setelah ‘ibu bapa’ saya menjawab beberapa soalan (yang sebenarnya seolah-olah tidak jawap soalan pun), saya berjaya yakinkan pegawai kastam bahawa ibu bapa saya letih mengembara di luar negara dan belum pulih). Pegawai itu masih benarkan kami masuk kerana kami rakyat Australia dan kami tidak bawa apa-apa yang perlu dikuarantin. Sekali lagi saya perasan, bahawa tiada siapa antara mereka yang perasan ahli keluarga saya berbau busuk. Dan apa yang mengejutkan, dua ekor anjing yang bertugas menghidu beg penumpang memberi reaksi negatif terhadap kami, hidung mereka berkerut dan mengecil, sambil hanya bersiul perlahan. Pegawai yang menyaksikan itu sekali lagi bertanya jika kami ada bawa apa-apa barang yang perlu diisytiharkan, dan cuba untuk buat anjing-anjing itu hidu kami, tetapi anjing-anjing itu tidak mahu. Disebabkan kami tiada barang perlu diisytiharkan dan tiada apa-apa yang pelik pada panel x-ray, mereka tidak dapat lakukan apa-apa lagi, hanya lepaskan kami masuk.
Kami tinggalkan lapangan terbang, naik bas shuttle ke tempat kereta bapa saya diletakkan untuk tempoh panjang. Saya sebenarnya sudah mula memikirkan bahawa sesuatu yang buruk telah terjadi pada keluarga saya dalam ‘pengembaraan’ di Malaysia. Kami masuk ke dalam kereta dan bapa saya membuat permintaan yang hampir buat saya menangis ketakutan. Dia beritahu saya yang dia sudah lupa jalan ke rumah (kami memang tinggal di rumah yang sama selama ini) dan minta saya beritahu jalan pulang ke rumah, atau pandukan saja kereta untuk kami pulang. Pada masa ini, saya rasa terlalu takut untuk menolak, jadi saya melompat ke tempat pemandu. Kami tinggal di pinggir bandar di arah tenggara, yang mengambil masa sejam untuk sampai.
Akhirnya kami sampai ke rumah dan pada masa ini, saya seolah sudah tidak berfungsi, seolah khayal. Dari ekor mata, saya nampak ‘bapa’ saya periksa rumah dan tersenyum bangga seolah-olah dia tak pernah ke sini, seolah-olah rumah ini baru diberi kepadanya.
Ahli keluarga yang lain semuanya masuk, dan kami tinggal di bilik berbeza. Ini seolah-olah satu pengesahan bahawa saya telah membawa masuk sesuatu yang ‘jahat’ ke dalam rumah saya.
Sekarang pukul 1:07 pagi (kami sampai lepas tengah malam) dan sambil saya menulis di sini, saya tak dapat tidur langsung, apatah lagi mereka semua ada di tingkat atas. Setiap 10 minit sebegitu, ahli keluarga saya seolah-olah melagukan senandung tetapi itu dah berhenti kira-kira 15 minit sebelum pukul 1.00 pagi. Saya tak pasti apa maksud ‘senandung’ tersebut, tetapi saya akan usahakan untuk tahu nanti.
Memandangkan kami Muslim, saya akan menghubungi seorang Sheikh yang tahu tetang semua ini, harap dia boleh tolong saya tetapi jujurnya saya tak tahu apa yang perlu saya jangkakan. Saya sendiri tak tahu mengapa saya tulis tentang semua ini, saya sebenarnya buntu dan sangat takut sesuatu yang tidak boleh diperbetulkan lagi telah berlaku. Saya akan cuba untuk kemaskini tentang ini pada waktu pagi, saya cuma sangat letih.###
Nota penulis: Bahagian Dua cerita ini akan dimuat naik waktu yang lain.
Sumber: Reddit