Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang pada awalnya disasarkan mula beroperasi pada 30 September, kini dijangka hanya akan beroperasi menjelang hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun projek tersebut dirancang untuk dilancarkan pada suku ketiga 2025, beberapa ujian tambahan masih perlu dilaksanakan sekali gus menyebabkan sedikit kelewatan. Katanya kepada media hari ini,
Namun begitu, kami komited memastikan jajaran awal LRT3 dari Klang ke Petaling Jaya akan mula beroperasi sebelum hujung tahun. Projek ini dipantau secara rapi dan kami yakin ia dapat dibuka kepada orang ramai seperti dirancang.
Terdahulu, Anthony memaklumkan dalam jawapan bertulis di Parlimen bahawa LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, Klang, telah siap 98.16 peratus dan disasarkan mula beroperasi pada 30 September.
Bagi memastikan keselamatan perkhidmatan, beberapa ujian dijalankan termasuk Train Run (TR) dan Full Fast Running (FFR) yang bermula pertengahan April hingga akhir Jun. Selepas ujian tersebut selesai dan diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), operasi percubaan pula akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn Bhd bersama bantuan teknikal kontraktor utama.
Dengan kos projek dianggarkan RM16 bilion, LRT3 yang merentasi 37.8 kilometer ini dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di kawasan terlibat.