Sejak beberapa jam lalu, peminat industri hiburan tempatan dikejutkan dengan satu salinan laporan polis viral yang menyatakan seorang pelakon popular dan jelita ditahan kerana kes dadah. Pelbagai spekulasi timbul dan ramai yang tidak menyangka dia terlibat dengan kes tersebut.
Terbaru, portal Harian Metro mengesahkan berita berkenaan. Difahamkan, artis yang berusia 26 tahun itu terbabit dalam kemalangan jalan raya di Taman Tun Dr Ismail pada jam 11.45 pagi tadi sebelum anggota polis menemui enam ‘aluminium foil’ mengandungi 53 pil dadah eramin 5 di dalam beg tangan miliknya.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati pelakon yang berasal dari Kelantan itu berada dalam keadaan khayal.
Pelakon yang juga kakak kepada dua pelakon wanita popular yang memandu Range Rover dikatakan melanggar kenderaan Honda BRV di jalan terbabit. Anggota polis ke lokasi kejadian kemudian membawanya ke balai polis itu untuk pemeriksaan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pelakon wanita itu didapati negatif. Dia kini ditahan di balai polis itu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan penahanan tersebut dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.