Seorang pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan telah diberkas pihak polis atas tuduhan memiliki ganja. Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 pagi Jumaat lalu, polis mendapati suspek memiliki tin berisi ganja yang diletakkan dalam kereta jenis Honda Jazz miliknya.
Pelakon tersebut yang berusia 25 tahun, ditahan di stesen minyak Petronas, Jalan Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur bersama adik lelakinya berusia 24 tahun serta rakan mereka. Polis juga menemui botol lut sinar yang diubah suai menjadi alatan menghisap ganja, serta ganja mampat di dalam plastik yang dianggarkan berat melebihi 5 gram disembunyikan di tempat duduk belakang pemandu.
Mereka dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati pelakon tersebut positif dadah jenis ganja. Difahamkan artis terbabit juga merupakan seorang pengacara rancangan berbentuk “travel” yang disiarkan di stesen televisyen terkenal Malaysia.