Seorang pelajar wanita warga asing di sebuah universiti swasta di Subang Jaya cedera parah selepas dipercayai dikelar di bahagian leher oleh bekas teman lelakinya dalam kejadian yang berlaku petang semalam, memetik Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.30 petang, membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun yang mencederakan bekas teman wanitanya berusia 20 tahun.

“Suspek yang juga bekas teman lelaki mangsa telah ditahan sejurus kejadian berlaku dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mangsa mengalami kecederaan parah di leher sebelah kiri akibat senjata tajam dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut. Mangsa kini dirawat di Zon Merah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.