Awal pagi tadi, seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan dengan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka melanggar belakang treler di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1).
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menuju ke Terminal Sentral Kuantan.
Memetik laporan Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Maran iaitu Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 38 tahun itu melanggar belakang treler yang berada di lorong kiri.
Ketika kejadian, treler tersebut sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dirempuh dari belakang oleh bas yang membawa 28 penumpang termasuk mahasiswa.
Tiada kecederaan melibatkan semua mangsa termasuk pemandu kedua-dua kenderaan serta kelindan lori. Kesemua penumpang dipindahkan ke bas gantian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan.
Jelasnya lagi, kemalangan tersebut dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaannya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Haykal memaklumkan, seramai 20 pelajar UMPSA menaiki bas terbabit dan kesemua mereka selamat tanpa sebarang kecederaan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.