Mahasiswa yang berada di dalam negara mungkin perlu berfikir semula tentang tuntutan yang dikemukakan di laman sosial untuk memohon pulang ke kampung halaman masing-masing. Ini kerana mereka ini masih diberi penjagaan yang baik oleh pihak universiti. Kebajikan dan keperluan mahasiswa tempatan dipastikan mencukupi untuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berdasarkan perkongsian pengalaman pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al Mansoura, Mesir mereka sedang menghadapi tekanan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Selain berjauhan beribu batu dengan keluarga di Malaysia, mereka juga menghadapi masalah lain ketika ini.
Pelajar Malaysia di Mesir menyedari wabak COVID-19 di negara itu telah memberi kesan kepada bekalan makanan dan mata wang mereka. Bekalan makanan dikhuatiri semakin berkurangan dari hari ke hari. Selain itu, tukaran mata wang asing meningkat tinggi lebih-lebih lagi ketika musim COVID-19 ini.
Ada juga pihak kedutaan dan wakil negeri yang memberikan sumbangan makanan kepada pelajar. Pihak universiti juga ada memberikan bekalan telur dan seekor ayam untuk meringankan beban perbelanjaan harian pelajar Malaysia. Namun, perkara ini masih mengundang kebimbangan dalam kalangan pelajar.
Mata wang meningkat
Kadar pertukaran wang pula naik iaitu RM3.617 berbanding dahulu RM1. Sedikit sebanyak perkara ini menyebabkan pelajar perlu berjimat dari segi perbelanjaan untuk membeli makanan dan sebagainya.
Pelajar yang masih berada di Mesir juga terpaksa menjalani perintah berkurung yang dikeluarkan oleh kerajaan Mesir. Perintah berkurung berkuatkuasa antara pukul 8 malam hingga 7 pagi. Memandangkan peperiksaan semakin hampir, mereka tidak boleh sewenangnya pulang ke tanah air.
Namun, terdapat segelintir pelajar Malaysia yang telah pulang ke rumah dengan perbelanjaan sendiri walaupun kos tambang pulang ke tanah air telah meningkat sebanyak satu kali ganda. Pelajar yang tidak mempunyai wang yang cukup terpaksa melupakan hasrat untuk pulang Malaysia.
Peperiksaan akan dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu antara Jun atau Ogos. Sesi pembelajaran masih berjalan seperti biasa kerana pensyarah melakukan kuliah secara dalam talian. Bahan pembelajaran e-book juga turut dibekalkan kepada pelajar.
Diharapkan semoga pelajar Malaysia di luar negara ketika ini diberi kekuatan dan kesabaran untuk menempuhi keadaan getir dihadapi sekarang.