Seorang peguam terkenal yang sering digelar ‘kotak pensel’ hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi mewakili Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis, yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.
Dalam prosiding hari ini, peguam bela Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri serta tiga orang anak.

Terdahulu, Mohamed Fauzi mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Fauzi didakwa ketika menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah diamanahkan wang berjumlah RM5 juta milik TKAT yang disimpan dalam sebuah akaun bank.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah ke atas wang tersebut apabila secara tidak jujur menyalahgunakannya dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, pada 27 November 2023 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, selain boleh dikenakan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
