Hasil serbuan mengejut pegawai polis daripada Bukit Aman mendapati seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga orang anggotanya serta empat wanita awam ditahan ketika sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis yang diketuainya, dalam daerah Kajang semalam.
Memetik laporan Berita Harian, serbuan tersebut dilakukan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada jam 6 petang semalam sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam.
Ketika serbuan dijalankan, sebahagian daripada mereka semua didapati sedang berhibur sambil minum minuman keras dan air ketum di dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaaan.
Bilik gelap berkenaan lengkap dengan set karaoke dan lampu berputar seperti di disko.
Hasil pemeriksaan polis mendapati empat wanita orang awam yang ditahan masing-masing berusia antara 21 hingga 37 tahun termasuk OCS berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan.
Pihak polis juga merampas barangan dan sistem peralatan seperti pembesar audio, perakam, mikrofon, satu unit tv dan juga botol minuman keras.
Pada masa sama, lima botol mengandungi air ketum dan gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita turut dirampas.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad mengesahkan serbuan ini berkata tangkapan yang dilakukan berdasarkan maklumat salah laku yang jelas daripada anggota polis sendiri.
“Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Tangkapan dijalankan oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar SOP.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan,”- katanya.
Siasatan terperinci akan dilakukan selepas ini tetapi buat masa ini mereka semua diambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.