Saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Undang-undang Amerika Syarikat (US) untuk merampas aset yang berkait dengan 1MDB telah mendedahkan perbalahan dalam keluarga isteri perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Apabila ditanya respon Rosmah tentang entri di media sosial yang dibuat oleh anak perempuannya yang ‘terasing’, Azrene Soraya Abdul Aziz, Rosmah hanya memberi respon dengan genangan air mata, kata pegawai khas beliau, Datuk Rizal Mansor.
Rizal menulis satu status yang menggambarkan perasaan Rosmah terhadap tulisan Azrene.
Maka bertanyalah saya kepada si ibu.
Tiada kata yang terbit daripada mulut si ibu. Tidak lama kemudian saya dapat melihat air matanya bergenang. Apa yang dapat saya simpulkan, tiada sedetik pun dibenak fikiran si ibu mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak elok buat si anak. Dapat saya gambarkan perasaan ibu terhadap anak yang dikandung selama sembilan bulan.
Sepanjang mengenali si ibu secara dekat hampir lapan tahun lamanya, tak pernah sekalipun mendengar si ibu menghamburkan kata-kata tidak enak terhadap anak-anaknya kerana kata-kata ibu adalah doa, jauh sekali mahu mengungkit kesakitan yang ditanggung waktu melahirkan juga menyusukan mereka. Si ibu memilih untuk memendam sahaja perasaan daripada mengeluarkan kata-kata kerana kasih ibu tiada sempadan.
Tugas dan tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak dan memberi pelajaran secukupnya. Sekarang si anak telah memilih jalan hidupnya. Didoakan si anak bahagia dengan dunianya.
#kasihnyaibumembawakesyurga
Sumber: Rizal Mansor