Pegawai HR Kongsi 5 Silap Besar Kerap Dilakukan Pencari Kerja, Jangan Buat “Resume Sampah!”

Trending

Pegawai HR Kongsi 5 Silap Besar Kerap Dilakukan Pencari Kerja, Jangan Buat “Resume Sampah!”

Ketika nak memohon sesuatu kerja, para pencari kerja haruslah menyediakan resume yang lengkap dan tepat. Adakalanya kesilapan-kesilapan kecil boleh menjadi besar ekoran pencari kerja memandang remeh kesilapan-kesilapan yang dilakukan sehingga resume mereka tidak diterima oleh sesuatu syarikat.

Advertisement

Seorang HR yang bernama Izman Pauzi berkongsi 5 kesilapan yang sering dilakukan pencari kerja. Jom kita tengok dan harap pencari kerja tak buat lagi kesilapan yang sama.

Resume Sampah!

Kata-kata tersebut agak keterlaluan, namun itulah realiti yang dihadap oleh orang HR seperti saya setiap kali menerima resume daripada pencari kerja.

bukan bermaksud saya atau rakan-rakan HR lain menganggap resume yang dihantar kepada kami dipandang hina seperti sampah, tetapi si pencari kerja itulah yang menjadikan resumenya seolah sampah.

okeylah!, saya cerita.

pagi ini saya menerima dua resume daripada pencari kerja yang dihantar melalui pos. setelah di sisih oleh pembantu saya, ia diletakkan di meja saya untuk penilaian dan tindakan.

tanpa prejudis saya menelitinya. dan terima kasih kepada mereka yang berminat menghantar permohonan kerja di syarikat saya bekerja ini biarpun ia syarikat kecil.

usai meneliti keduanya, saya bersandar. kemudian mengeluh sendiri.

keduanya melayu, berpendidikan tinggi, ada diploma. tetapi resume mereka langsung tidak berbekas di hati saya sebagai orang HR.

kenapa?
ia dihantar tanpa surat iringan, hanya resume atau CV semata-mata. ia resume yang tiada nilai.

apakah jawatan yang di pohon?
berapa gaji yang diminta?

bab gaji tidaklah menjadi isu besar, tetapi tidak menulis jawatan di pohon itu kesilapan terbesar calon. orang HR tiada kuasa membaca hati anda. kami juga tidak boleh sewenangnya memilih dan mencadang jawatan untuk anda pilih, biarpun itulah sebenarnya tujuan anda tidak menulis jawatan yang dipohon. jika anda terlalu inginkan kerja dan tidak memilih, tulislah ‘PERMOHONAN JAWATAN SEBAGAI PENYELIA STOR ATAU SETARAF’, sebagai contoh.

dahlah membuat kesilapan sebesar itu, ikuti pula kesilapan lain yang sepatutnya tidak berlalu seperti berikut:

1. membesarkan saiz gambar sesuka hati. gambar besar itu bagus tetapi janganlah membesarkannya tanpa mengambilkira ratio yang betul. hasilnya rupa kacak anda menjadi lonjong seperti ‘patrick’ si tapak sulaiman dalam kartun ‘spongebob’.

2. kesilapan ejaan. resume adalah cerminan diri anda sebelum anda di panggil temuduga. kesilapan ejaan boleh dielak jika anda baca resume anda berulang kali sebelum dihantar. orang HR pun ada yang tidak mahu berdiplomasi bab kesilapan ejaan kerana ia menunjukkan anda tidak teliti.

3. penggunaan bahasa Inggeris. ia sesuatu yang biasa dan digemari oleh calon biarpun mereka gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris. bercakap ‘broken english’ tak salah kerana ia akhirnya akan menjadikan kita yakin dan mahir bertutur bahasa Inggeris. tapi penulisan tidak begitu. jika anda ingin menulis resume dalam bahasa inggeris, pastikan ejaan dan bahasanya betul dan sesuai. susah?, apa yang susah sangat, pakcik ‘google’ kan ada. itupun nak ajar!

4. sijil sokongan tidak disertakan. untuk jawatan yang dipohon secara semberono dengan niat mana tahu sangkut, bolehlah! tetapi jika anda bersaing untuk jawatan tertentu yang diiklankan, sebaiknya sertakan sijil sokongan seperti sijil SPM, STPM, Diploma, Ijazah, sijil kemahiran, sijil penghargaan, dan surat-surat sokongan yang berkaitan. orang HR macam saya ini bukanlah tahu semua tentang kursus-kursus yang terdapat di kolej dan universiti. jadi kami tak tahu sama ada bidang yang anda pelajari itu sesuai dengan bidang yang dipohon. jadi, sertakanlah transkrip peperiksaan. lagi kelakar apabila sesetengah kursus itu diberi nama dalam bahasa melayu dan kami tidak tahu maksudnya kerana ia menggunakan bahasa yang kami tak pernah dengar. jika ada transkrip, dapatlah kami hayati dan fahaminya.

5. apa-apaun tulisan saya di atas, jika anda tidak tahu adab, semuanya tidak berguna dan resume anda akan benar-benar menjadi sampah dan dibuang serta-merta.

ya, saya serius! suatu ketika dahulu, saya pernah membuang resume calon yang saya rasa cukup biadap apabila bercakap melalui telefon. menelefon pihak syarikat dan orang HR untuk mengetahui penerimaan resume yang dihantar dan status permohonan adalah trik/ teknik memenangi temuduga, tetapi ia akan menjadi mimpi buruk jika anda tidak tahu adab.

“hello HR, awak ada terima tak resume saya?”, tanya seorang calon melalui telefon. setelah bersoal jawab mengenai nama, tarikh dihantar dan jawatan dipohon, saya telah memaklumkan bahawa resumenya sedang diproses.

“okeylah macam tu. resume tu jangan lupa bagi bos awak tengok, jangan peram kat meja awak pula”, katanya lagi,

wah, mendidih hati saya mendengarnya. tetapi saya tetap profesional dan menutup perbualan dengan baik. tetapi saya tanpa berlengah telah memasukkan resumenya itu ke dalam bakul sampah yang berada di sebelah meja saya. ya, saya boleh jadi tidak profesional dalam tugas, tetapi saya yakin syarikat saya bekerja itu juga tidak memerlukan orang yang tiada adab. resume yang dibuang pasti tidak dapat dikesan lagi dan peluang calon tersebut adalah 0%.

bagi kes ini, sejujurnya calon tersebut telah tersenarai antara lima calon yang paling layak setelah tapisan. tetapi kerana mulutnya itu saya telah ‘membakulsampahkan’ resumenya. apa salahnya guna bahasa panggilan yang lebih sesuai, tidak kisahlahlah jika orang HR itu cuma sekadar kerani HR. apa salahnya panggil ‘tuan’, / ‘encik’/ ‘puan’ / ‘cik’ atau lain-lain panggilan yang tertib dan formal. dalam kes ini dia bergurau kasar dengan bos HR sendiri yang kebetulan sedang pening kepala membuat budget tahunan untuk syarikat. jadi, terimalah pembalasan perbuatannya itu. orang tua dah kata ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’.

jadi, saya suka ingatkan bahawa ekonomi kita semakin gawat dan pencari kerja semakin ramai dan terdesak, jadi mulakan langkah pertama mencari kerja secara betul dengan menulis resume yang sempurna.

kemudian ingatlah bahawa proses pemilihan calon dan temuduga, termasuk penentuan gaji dan pengesahan penerimaan jawatan adalah kuasa budi bicara HR, dan kamilah barisan depan yang menilai anda. jika anda gagal melepasi kami, tipislah harapan anda, kecualilah anda mempunyai ‘kabel’ yang lebih besar.

kami tidak perlu ‘dikipas’ atau disogok, cukup sekadar menulis resume yang lengkap dengan surat iringan, menelefon atau menulis email bertanya khabar mengenai status resume anda sebagai tanda ia diterima dan diambil tindakan. jika anda sesuai, anda akan diberi peluang dalam proses temuduga dan insyalllah akan menerima tawaran jawatan. proses ini terpakai untuk semua jawatan dan semua syarikat.

jika nak tahu lebih lanjut lagi, bacalah buku mengenainya yang banyak di pasaran dan hadirilah kelas menghadapi temuduga yang dianjurkan oleh pihak universiti atau kolej. jika ia tidak diajar, mohonlah pihak terbabit membuatnya agar semua pelajar yang akan keluar mencari kerja buka mata apa sebenarnya dicari dan dinilai oleh pihak syarikat.

luahan perasaan daripada :

izman pauzi
pegawai HR kilang
penulis buku motivasi ‘JANGAN SENTAP, OKEY!’

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...