Mendedahkan watak yang dipegang dalam telefilem Penunggang Agama lakonannya sangat mencabar, pelakon dan ahli kumpulan Defam, Azira Shafinaz akui dirinya banyak belajar tentang hukum tajwid dalam bacaan Al-Quran.
Katanya lagi, beliau memegang watak sebagai seorang wanita yang kuat pegangan agama dan melibatkan babak membaca dan mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran.
“Bagi saya, watak dalam telefilem ini sangat mencabar kerana saya perlu betul-betul belajar mengenai karakter seorang wanita yang kuat agama. Terdapat babak di mana saya perlu mengajar budak-budak membaca Al-Quran, jadi, saya perlu tahu membaca Al-Quran dengan bacaan yang betul. Ia memang mencabar, apa yang pasti, jalan ceritanya sangat menarik, jelas dan mudah difahami.”
Ujar Azira, banyak yang dipelajarinya termasuklah perlu menghafal beberapa surah dan merujuk kepada individu yang mahir dalam hukum bacaan Al-Quran yang betul ketika di set penggambaran.
“Saya diberi beberapa surah untuk dihafal sendiri, dalam proses menghafal itu, saya banyak bertanya kepada yang mahir membaca Al-Quran kerana saya bukanlah hebat mengetahui hukum-hukum tajwid dan sebagainya. Di set penggambaran kami memang ada yang tahu hukum bacaan Al-Quran, jadi saya banyak merujuk kepadanya.”
Selain Azira, telefilem ini turut menampilkan Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari.
Untuk rekod, Azira memegang watak sebagai Anna yang berdepan dugaan getir apabila wujud anggota keluarganya mengalami gangguan makhlus halus.
Sumber: Gempak