Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan melaksanakan pemantauan melalui udara bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan trafik sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Timbalan Komander (Operasi) PGU, SAC Noor Sham Md Jani pemantauan itu membabitkan penerbangan dua kali sehari dengan dua buah helikopter jenis AS355N dan AW139.
“Sejak PKPP dilaksanakan, kami sudah menjalankan pemantauan dari udara dan membantu Jabatan Penguatkuasaan Trafik untuk mengenal pasti pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya termasuk mereka yang menggunakan laluan kecemasan.”
Menurutnya, helikopter jenis AS355N dilengkapi kamera canggih dikenali sebagai wescam yang boleh mengenal pasti dan merekod nombor pendaftaran kenderaan yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya.
Dia menjelaskan wescam ini dipasang untuk operasi sepanjang PKPP dan dengan adanya kamera canggih ini, ia akan terus dihantar secara langsung ke Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
Noor Sham turut mengingatkan pengguna jalan raya bahawa pemantauan ini bukan sahaja untuk memantau keadaan trafik di semua lebuh raya utama negara, tetapi juga bagi mengesan pesalah trafik.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.