PBB Isytiharkan Pengiktirafan Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Israel Oleh Trump Batal dan Tidak Sah

Trending

PBB Isytiharkan Pengiktirafan Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Israel Oleh Trump Batal dan Tidak Sah

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak sah dan terbatal.

Advertisement

Ia diputuskan oleh PBB dalam satu pengundian, 128 negara menolak keputusan AS dan sembilan lagi negara menyokong.

35 negara lain mengambil pendirian berkecuali dalam sesi undian tersebut, manakala wakil 21 negara tidak hadir.

Pengundian yang berlangsung pada Khamis disifatkan satu kemenangan untuk Palestin, biarpun ia mencatat sokongan lebih rendah, berbanding 150 yang dijangka sebelum ini.

Terdahulu, sebelum pengundian 193 negara itu, AS menerusi dutanya ke PBB, Nikki Haley mengulangi ancaman Presiden Donald Trump untuk memotong bantuan kewangan kepada mana-mana negara yang menyokong resolusi berkenaan.

Haley juga menegaskan keputusan undian di PBB tidak akan membuat sebarang perubahan ke atas rancangan Washington memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Israel pula enggan menerima resolusi PBB yang mengisytiharkan pengiktirafan AS bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara tersebut sebagai terbatal dan tidak sah.

Tahukah anda fakta di sebalik Baitulmaqdis yang menjadikan ia penting bagi umat Islam?

Fakta mengenai Baitulmaqdis:

1. Tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj

Berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad SAW, bersamaan 622 Masihi, ketika baginda berumur 52 tahun, setahun sebelum peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah.

Perjalanan mengambil masa kira-kira satu malam di mana baginda kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar.

Baginda menunggang Buraq bersama Jibril dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin kini, sebelum diangkat dari bumi ke langit ke-7.

2. Tempat ibadat umat Islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah

Arah kiblat umat Islam ketika itu ialah Baitulmaqdis. Arah kiblat kemudian ditukar ke Kaabah di Mekah selepas peristiwa Israk dan Mikraj sewaktu Nabi Muhammad SAW tinggal di Madinah.

3. Lokasi terletaknya Masjid Al-Aqsa

Membawa maksud ‘Masjid Terjauh’, Masjid Al-Aqsa merupakan salah satu tempat suci agama Islam yang menjadi sebahagian daripada kompleks bangunan keagamaan di Kota Lama Baitulmaqdis.

Kompleks bangunan tersebut (bersama dengan bangunan Kubah Batu) dikenali oleh umat Islam sebagai Al Haram Al Sharif atau “tanah suci yang mulia” dan oleh orang Yahudi dan Kristian sebagai Kuil Suci.

4. Tercetusnya Perang Salib Pertama

Pada tahun 1099 Masihi, tentera salib telah berjaya menakluk Baitulmaqdis, termasuk Masjid Al-Aqsa, ketika berlakunya Perang Salib Pertama dan menggunakannya sebagai istana kerajaan dan kandang kuda.

Bagaimanapun, fungsi Masjid itu dapat dikembalikan setelah pasukan Islam dipimpin Salahuddin Al-Ayyubi berjaya merebut kembali Baitulmaqdis melalui pengepungan pada tahun 1187 Masihi.

5. Perubahan yang dilalui

Di bawah pentadbiran Khalifah Uthmaniyah yang memegang kuasa mulai 1517 Masihi, tidak banyak perubahan besar dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa, namun mereka melakukan penambahbaikan pada kawasan Al-Haram Al-Sharif secara keseluruhan.

Tiga buah kubah telah dibangunkan, termasuk kubah yang paling terkenal iaitu Kubah Nabi, yang dibina pada 1538 Masihi.

Pada tanggal 21 Ogos, 1969, terjadi kebakaran di dalam Masjid Al-Aqsa oleh puak ekstremis Yahudi yang didokong kuat oleh Kristian Zionis.

Kebakaran ini juga menyebabkan sebahagian bangunan Masjid musnah dan mimbar kuno Salahuddin Al-Ayyubi yang berusia lebih 800 tahun hancur.

Sumber: Astro Awani

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...