Selepas kisah pertelingkahan di antara YouTuber popular iaitu Pavithra dan suaminya, Sugu menjadi perhatian, ramai yang meluahkan rasa tidak setuju apabila wanita itu memilih untuk memaafkan kesilapan suaminya sampai ada yang menggelarnya sebagai ‘Bella Astillah 2.0’.
Mendengarkan namanya dikaitkan dalam isu ini, Bella Astillah sendiri telah tampil dan meminta orang ramai supaya tidak menghukum seseorang atas keputusan yang dibuat mengenai hal rumah tangganya.
Jelas selebriti itu, bukan senang untuk membuat keputusan untuk berpisah. Ini kerana setiap pasangan pasti akan memikirkan mengenai hal anak-anak dan keluarga sebelum membuat pilihan drastik seperti itu.
Tambahnya lagi, adakah netizen semua hanya akan berpuas hati sekiranya Pavithra membuat keputusan untuk bercerai.
“Bila orang bergaduh, suruh fikir tentang kebaikan pasangan dan anak-anak, tapi bila orang berbaik pula, suruh bercerai?”
Bella juga berharap agar netizen melihat dahulu diri sendiri sebelum menghakimi kehidupan orang lain. Katanya, kita bukan malaikat dan Tuhan jadi tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pasa masa depan.
“Yang kecewa, tak selamanya kecewa. Yang bahagia, tak selamanya bahagia sebab semuanya hanya sementara. Hidup ini macam roda. Sebagai manusia, apa salahnya kita harapkan yang baik-baik saja.”
Dalam pada itu, Bella meminta semua orang mendoakan perkara yang baik sahaja terjadi pada hidup orang lain. Dengan itu, kita semua juga akan menjalani kehidupan yang baik.
Meskipun namanya tanpa sengaja terpalit sekali dengan isu Pavithra ini, selebriti tersebut tidak melatah malah mampu berseloroh dengan jenaka warga internet mengenai ‘cawangan Bella Astillah’.
“Dan saya gembira kerana sekarang, ‘Bella Astillah’ dah mula ada cawangan.”
Tak kisahlah Bella ke Pavithra ke, mereka pasti sudah berfikir sedalam mungkin sebelum membuat keputusan untuk menerima semula suami masing-masing.