Bagi yang tidak mengetahui, 13 April kelmarin merupakan hari yang sangat istimewa bagi agama Sikh di mana ia adalah tahun baharu kepada mereka dan dipanggil sebagai Vaisakhi. Sambutan ini juga turut meraikan festival menuai musim bunga.
Walaubagaimanapun, disebabkan oleh kekangan yang dihadapi oleh semua masyarakat dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April nanti, ia tidak mengizinkan masyarakat Sikh untuk menyambutnya seperti biasa.
Pun begitu, tidak putus asa dengan halangan ini, 12,000 masyarakat Sikh di Malaysia telah mencari cara lain dan menyambut Vaisakhi menerusi dalam talian. Sambil sambut, sambil kekalkan penjarakan sosial!
Tahun ini kami menyambutnya secara elektronik. Kami menyebutnya e-Vaisakhi, ia membolehkan masyarakat untuk terus menikmati keindahan kirtan (nyanyian lagu keagamaan) oleh kumpulan terkenal ragi jathas (kumpulan nyanyian lagu keagamaan).
Selain itu, mereka turut menyiarkan bacaan kitab keagamaan Sri Guru Granth Sahib Ji iaitu Satsang dan Akhand Path selama 48 jam menerusi laman social Facebook.
Mengakui bahawa Vaisakhi kebiasaannya disambut secara besar-besaran dan dengan meriahnya pada saban tahun, masyarakat Sikh bagaimanapun akur dengan keadaan semasa dan merasakan bahawa menyambut perayaan tersebut bersama keluarga juga adalah satu pengalaman yang sangat bermakna.
Warga tua dalam kalangan kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan makna dan pentingnya perayaan ini kepada generasi muda dan semua orang akan berdoa di rumah.
Malah pada hari ini, masyarakat Tamil akan menyambut Tahun Baharu Tamil (Chittirai Puttandu) manakala masyarakat Malayalee akan meraikan perayaan Vishu.