Setelah Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac baru-baru ini, nampaknya masih ramai lagi rakyat yang ingkar dan meneruskan hari-hari mereka seperti biasa. Walhal sudah diingatkan supaya semua duduk sahaja di rumah sebagai usaha untuk membendung wabak COVID-19.
Disebabkan arahan ini seperti angin lalu sahaja bagi sesetengah rakyat, pihak polis telah menjalankan operasi besar-besaran seperti sekatan jalan raya supaya dapat menasihati mereka mengenai seriusnya isu ini.
Tebaru, Kementerian Pertahanan telah membuat keputusan untuk menurunkan pasukan tentera negara bagi membantu pihak polis memastikan rakyat menuruti Perintah Kawalan Pergerakan ini. Semua orang akan dipastikan berada di rumah sehingga 31 Mac ini.
Pasukan tentera akan memulakan tugasan tersebut bermula Ahad ini dan perkara ini sendiri telah disahkan oleh Menteri Pertahanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang media khas mengenai perkembangan perintah ini.
Sila patuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sehingga 31 Mac ini.