Artis versatil, Elly Mazlein ataupun lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom di kalangan peminat dilaporkan bakal muncul dengan program masakan sendiri yang dijangka akan bersiaran selama 29 episod pada bulan Ramadhan tahun hadapan.
Program yang diberi nama Senduk Kuali Bersama Kak Lina Pom Pom dikhabarkan akan bersiaran selama 30 minit bagi setiap satu episod dan mempunyai tiga segmen.
Elly yang ditemui media ketika sidang media program berkenaan berkata lagi, dia memilih untuk bersikap terbuka dan positif sekiranya rancangan TV yang dihoskannya itu bakal dibandingkan dengan program masakan sedia ada ketika ini.
Meskipun fokus utama rancangan itu sama iaitu memasak, Kak Lina walau bagaimanapun menyifatkan program Senduk Kuali Bersama Kak Lina Pom Pom mempunyai kelainannya yang tersendiri.
“Saya sedar bila program ini disiarkan kelak, ia pasti akan dibanding-bandingkan dengan program masakan sebelum ini. Senduk Kuali Bersama Kak Lina Pom Pom ini pula baru setahun jagung dan sudah pastilah ada perbandingannya di situ. Apa pun saya harap penonton beri kami peluang. Tontonnya hingga episod terakhir dan buatlah perbandingan selepas itu,”
Menganggap kritikan itu perlu agar sesebuah rancangan dapat diubah menjadi lebih baik, penyanyi Bungaku Bakawali ini turut tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja apabila diberi peluang memilik program masakan sendiri.
“Sejujurnya, tak pernah sangka akhirnya saya ada program sendiri selepas 20 tahun dalam industri. Terima kasih atas kepercayaan produksi. Insyallah saya akan buat sebaik mungkin sebab saya sendiri perlu bawa rancangan ini dengan jayanya,” – Elly Mazlein
Sumber: Media Hiburan