Pasar borong sayur-sayuran terbesar di Beijing, pasar Xinfadi diarahkan tutup Sabtu lalu untuk mengekang penyebaran COVID-19 setelah wabak itu dikesan di kalangan beberapa pemilik perniagaan serta peralatan mereka.
Bagi memastikan keselamatan makanan yang diedarkan, pasar Xinfadi dihentikan operasinya sementara waktu sementara kesemua lebih 10,000 orang peniaga dan pekerja di pasar itu menjalani ujian pengesanan.
Pasar Xinfadi, yang mengedarkan 90 peratus sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar Beijing, akan diberi keutamaan oleh kerajaan dalam mengesan serta mengawal wabak tersebut dari menular.
Langkah itu dilakukan berikutan dua kes yang dilaporkan di ibu negara itu pada Jumaat lalu, di mana kedua-dua individu tersebut disahkan telah pergi ke pasar Xinfadi di daerah Fengtai Beijing itu.
Virus tersebut dikesan berpunca dari papan pemotong yang digunakan oleh penjual salmon import di pasar Xinfadi. Ikan salmon itu dikatakan dibeli dari pasar makanan laut Jingshen di daerah Fengtai.
Masih belum ada laporan rasmi tentang jumlah keseluruhan peniaga dan pekerja yang telah positif dijangkiti. Menurut pegawai pasaran di sana, dengan penutupan seluruh pasar Xinfadi bekalan daging dan sayur-sayuran dijangka akan terjejas.
Hingga Sabtu pagi dilaporkan enam pasar makanan borong di Beijing telah pun ditutup. Ini termasuk pasar Xinfadi dan pasar makanan laut Jingshen di Fengtai, pasar Wanxing di daerah Huairou, pasar Dongsiqu di daerah Pinggu dan pasar di daerah Chaoyang.
Pasar Xinfadi akan melakukan pembasmian kuman secara menyeluruh. Untuk memastikan bekalan pasaran dapat dijalankan, kawasan perdagangan khas sayur-sayuran dan buah-buahan didirikan di kawasan berhampiran, di mana ianya dilakukan dengan kawalan khas dan tertutup.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.