Seperti yang kita tahu, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin meluas penggunaannya sama ada dalam bidang profesional mahupun urusan harian, AI bukan lagi sesuatu yang asing.
Namun, lain pula nasib sepasang warga emas apabila mereka dipercayai tertipu dengan sebuah video yang dihasilkan menggunakan teknologi AI dan tular di media sosial.
Rentas negeri demi naik kereta kabel
Menurut perkongsian seorang wanita di Threads, pasangan suami isteri itu sanggup memandu ratusan kilometer semata-mata mahu melihat sendiri keindahan lokasi yang kononnya merupakan destinasi pelancongan baharu di perkampungan Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak.
Ada pasangan ni dah tua, datang check in hotel dan tanya sama ada saya dah naik kereta kabel dekat Kuak Hulu atau belum.
Saya ingatkan mereka melawak, saya cakap la saya sibuk dan tak sempat nak naik. Mereka terus cakap yang mereka datang dari KL sebab nak naik kereta kabel tu.
Wanita itu mengakui terkejut mendengar kenyataan yang diberikan oleh pasangan suami isteri dan bertanya sama ada mereka benar-benar serius atau tidak.
Terkejut saya dengar, saya pun tanya mereka serius atau tidak dan mereka cakap memang betul.
Dia yang bersimpati dengan nasib pasangan warga emas itu cuba menjelaskan bahawa video yang ditonton itu hanyalah rekaan AI.
Malangnya, pasangan suami isteri itu seakan-akan tidak percaya kerana video yang dihasilkan itu seolah-olah laporan berita, menunjukkan seorang wartawan sedang memberi penerangan terperinci mengenai destinasi tersebut.
Makcik tu cakap ada wartawan, takkan video tipu. Saya pun cakap yang saya orang tempatan, kawasan pekan akan meriah kalau betul ada kereta kabel di sini.
Lebih menyedihkan, pasangan warga emas itu mengakui mereka rasa segan dan malu untuk bertanya kepada anak-anak mengenai kesahihan lokasi yang dipaparkan dalam video tular tersebut.
Isteri pakcik ni kata saya patut komen dekat posting video tu maklumkan ia tak betul. Tapi saya tengok dekat TikTok, mereka pula tengok dekat Facebook.
Makcik tu cakap nak saman wartawan tu pula, saya cakap yang semua dalam video tu bukan orang betul. Kemudian, makcik tu kata ‘Tergamak la diorang buat macam ni.’
View on Threads
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib pasangan warga emas itu dan berasa terkejut kerana terdapat individu yang terpedaya dengan video rekaan AI berkenaan.
Ada juga yang meluahkan rasa bimbang mengenai isu itu kerana ia melibatkan warga emas.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.