Permohonan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah negeri Johor mencatatkan peningkatan dalam tempoh enam tahun, bermula 2019 hingga 2024.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, statistik menunjukkan peningkatan daripada 6,844 kes pada 2019 kepada 7,306 kes tahun lalu.
Peningkatan paling ketara ialah tuntutan permohonan perceraian yang naik daripada 3,273 kes (2019) kepada 4,264 kes (2024). Bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai, walaupun terdapat sedikit penurunan pada 2021 (1,856 kes), jumlahnya kembali meningkat kepada 2,462 kes pada 2024.
Tambah Mohd Fared, antara punca perceraian ialah tiada persefahaman, masalah kewangan, pasangan tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga dan campur tangan luar (mentua atau ipar duai).
Golongan berumur 26 hingga 35 tahun adalah pasangan paling tinggi memfailkan perceraian iaitu 16,159 individu, diikuti pasangan 36 hingga 45 tahun (10,517 individu); 18 hingga 25 tahun (4,877 individu); 46 hingga 55 tahun (4,631 individu); 56 hingga 65 tahun (1,715) dan 66 tahun ke atas (588 individu).
Sementara itu, tuntutan pengesahan cerai taklik kekal rendah sepanjang tempoh tersebut antara 25 hingga 38 kes setahun, manakala tuntutan Khulu’ atau tebus talak, menurun daripada 10 kes (2019) kepada hanya 8 kes pada tahun 2024.
Tuntutan fasakh pula mencatatkan penurunan ketara daripada 988 kes pada 2019 kepada hanya 545 kes pada 2024 dan kes tuntutan nafkah pula sebanyak 371 kes dilaporkan telah difailkan sejak Mei 2024 termasuk 109 untuk tahun ini setakat April.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.