Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menafikan sebarang salah laku dalam tangkapan satu pasangan kerana berkhalwat pada awal tahun ini.
Walaupun mengakui Mohd Ridhuan Giman, 34, dan Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, berkahwin secara sah pada 17 Oktober 2014, jabatan mendakwa mereka bertindak atas maklumat orang ramai pada malam sebelum serbuan, lapor The Star.
Dalam kenyataan yang disiarkan akhbar itu, Jawi berkata tangkapan dan penahanan pasangan itu adalah sah di sisi undang-undang kerana mereka gagal menunjukkan bukti mereka sudah berkahwin.
Turut dinyatakan kecurigaan yang berbangkit sewaktu siasatan, yang menunjukkan nombor telefon pemberi maklumat sama ada milik Ridhuan atau Siti Sarah, menurut laporan itu.
Laporan sebelum ini berkata pasangan terbabit bermalam di sebuah hotel murah pada 8 Januari apabila 8 penguat kuasa agama datang mengetuk pintu bilik mereka pada 1.30 pagi.
Walaupun Ridhuan memaklumkan mereka isterinya tidak berpakaian lengkap ketika itu, seorang penguat kuasa menyerbu masuk ke bilik.
Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara Ridhuan dan penguat kuasa tersebut, menyebabkan Ridhuan mengalami kecederaan pada leher.
Ridhuan dan Siti Sarah kemudian menyaman Jawi kerana tangkapan salah dan pencerobohan privasi, mendakwa mereka sudah menunjukkan foto sijil perkahwinan kepada penguat kuasa.
Dalam saman yang difailkan pada 17 Februari, mereka menuduh Jawi menyalahgunakan kuasa dan melanggar hak mereka kepada kebebasan diri dan kebebasan bergerak di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selain Jawi, pasangan itu juga menamakan ketua pengarah, 2 penguat kuasa Jawi, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Ridhuan dan Siti Sarah menuntut ganti rugi; kenyataan maaf daripada jabatan; dan penarikan balik segala siasatan lanjut terhadap mereka dan kos perundangan.
Sumber : FMT