Pelakon Amyza Aznan berkongsi perkembangan terbaharu mengenai keadaan anak sulungnya, Andre Mikhail, yang sedang menjalani rawatan kanser paru-paru.
Memetik laporan mStar, Amyza, 49, memaklumkan prosedur menyedut cecair di paru-paru yang dijadualkan pada Rabu terpaksa dibatalkan selepas pemeriksaan lanjut mendapati tiada cecair seperti disangka.

“Tak tahu nak cakap apa, tak jadi sedut air sebab tak ada air dalam paru-paru. Kata pakar bukan air tapi saiz tumor membesar dan menyebabkan paru-paru kanan collapse.”
“Nak tahu berapa saiz tumor kena tunggu giliran MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) lagi sebulan. Semoga ada keajaiban buatmu anak,” katanya menerusi InstaStory.
Menurut pelakon drama Bawah Payung itu, prosedur sebelum ini hanya bertujuan mengeluarkan cecair di paru-paru kanan dan tidak melibatkan pembuangan tumor.
Amyza turut merayu orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan Andre yang kini menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.
Terdahulu, pada 15 Februari tahun lalu, Amyza memaklumkan Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga selepas tiga minggu menerima rawatan di Hospital Ampang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
