Seorang lelaki yang juga penduduk Orang Asli parah di kepala, perut, mata kiri, bahu dan lengan kiri akibat diserang harimau di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai dalam kejadian sekitar jam 3 petang semalam.
“Saya terkejut melihat bapa pulang dalam keadaan berlumuran darah akibat dicakar harimau”.
Kenwak Asli,25 iaitu anak kepada Adin Andok, 45 terkejut melihat keadaan bapa yang sangat tenat dan berlumuran darah. Katanya, bapanya meminta tolong dalam keadaan badan yang berlumuran darah dan mata yang tertutup.
“Saya minta bantuan penduduk kampung untuk melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kerana keadaan bapa tenat”.
Bapanya yang sudah biasa ke kebun ubi kayu seorang diri dan sebelum ini tidak pernah terserempak dengan harimau.
“Mujur pihak JAKOA dan pasuka perubatan dari Hospital Gua Musang (HGM) cepat bertindak menghantar bapa mendapatkan rawatan”.
Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat Unit Kesihatan dan Kebajikan JAKOA Gua Musang, Mohd Syakirin Ramli, pihaknya menerima maklumat itu jam 6 petang dan enam petugas kesihatan bersama seorang doktor serta pegawai JAKOA bergegas ke lokasi pada jam 12 tengah malam.
“Alhamdulillah mangsa berjaya kita bawa keluar dalam keadaan stabil jam 5 pagi dan menerima rawatan awal di HGM”.
Selepas itu mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.