Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan dua orang lelaki melakukan aksi berbahaya dengan memanjat bumbung kereta yang sedang bergerak di Lebuh Raya Damansara – Puchong.
Memetik laporan Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah mengambil tindakan segera mengesan dan menahan individu terlibat.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua individu yang terlibat adalah penumpang kenderaan tersebut, manakala pemandu disahkan tidak terlibat dalam aksi berbahaya berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati individu pertama yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan bertindak keluar melalui tingkap pemandu dan memanjat ke atas bumbung kenderaan semasa ia sedang bergerak dan masuk semula ke dalam kenderaan melalui tingkap penumpang hadapan.
Menerusi video sama, ia turut memaparkan individu kedua yang duduk di tempat duduk penumpang belakang bertukar tempat dengan individu pertama lalu melakukan aksi yang sama.
Beliau turut berkata, ketika kejadian, kedua-dua suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan pada ketika itu yang mahu pulang ke Tajikistan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.