(PANAS)Awie Bengang Dengan Akhil Hayy, Siapa Yang Anda Sokong?

Hiburan

(PANAS)Awie Bengang Dengan Akhil Hayy, Siapa Yang Anda Sokong?

awie akhil

Panas, panas dan panas lagi. Awie bengang dengan Akhil Hayy dalam Harian Metro semalam. Ingat lagi tak tiba-tiba je Akhil Hayy bagitau Metro yang ada artis Malaysia yang mengamalkan ajaran sesat? Kalau tak silap minggu lepas rasanya dia buat kenyataan tue. Tiba-tiba semalam Awie dengan gagahnya membantai balik Akhil Hayy. Antara key-key point Awie ialah:-

Advertisement
  1. Akhil patut cermin diri sendiri dulu sebelum try nak tarbiah orang lain.
  2. Gelaran Ustaz untuk Akhil tak sesuai sebab Akhil tak ada kredibiliti tue. Rumah tangga sendiri pun tunggang langgang.
  3. Kenapa tetiba je Akhil nak kondem golongan artis terlibat ngan ajaran sesat? Macam nak cari populariti murahan je.
  4. Jangan ingat golongan artis nie buta agama. Diorang pun tau pasal akhirat gak.

Cuba baca sikit statement Abang Awie kita:-

[note]Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam. Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.[/note]

Tapi mana mungkin “Ustaz” Akhil Hayy kita berdiam diri. Ada jawapan balik dari dia kepada Abang Awie:-

[note]Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain. Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya. [/note]

Hmmmmmmmmmm (sambil menggaru-garu kepala berfikir). Susah kami nak cakap nak sokong sapa. Niat Akhil Hayy nak menegur tue memang dah baik dah. Tapi apa yang Abang Awie cakap pasal cerminkan diri tue pun betul jugak. Mungkin dua-dua ada kebenaran masing-masing kot? Secara peribadi memang kami rasa Akhil Hayy nie cuba mencari populariti murahan dan agak poyo dengan statementnya yang tiba-tiba tue.

Apa pendapat korang? Kalau nak tau citer penuh Akhil dan Awie nie, sila baca artikel ini selengkapnya.

PUTRAJAYA: Bengang dengan kritikan Akhil Hayy, penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba mentarbiah artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.

Malah, penyanyi kumpulan Wings itu mengakui telinganya ‘panas’ apabila mendengar nama artis berkenaan dan memberi amaran kepada Akhil supaya tidak lagi bercakap mengenai dunia artis atau mengaitkan golongan itu dengan sebarang bentuk ajaran sesat.

Awie mendakwa gelaran ‘ustaz’ yang diberikan masyarakat terhadap Akhil tidak wajar kerana penceramah itu sepatutnya mencerminkan kredibiliti dirinya terlebih dulu.

Tanpa berselindung, Awie mempertikaikan kewibawaan Akhil untuk mentarbiah golongan artis berdasarkan kredibiliti kehidupan rumah tangganya yang boleh dipertikaikan bukan saja di kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum.

“Jangan ingat golongan artis tidak mengetahui kehidupan dunia dan akhirat.

Apa saja yang dilakukan manusia di bumi ini hanya Allah yang tahu, tidak salah untuk ingat-mengingati,” katanya, semalam.

Awie yang popular dengan lagu Sejati mengulas dakwaan Akhil Hayy bahawa ada segelintir artis yang sudah ada nama menggunakan kedudukan mereka mempengaruhi artis lain supaya melakukan maksiat selain mempermudahkan Islam.

Malah, penceramah muda dan pengacara sebuah rancangan ilmiah itu turut mengakui ada artis membenarkan gejala bersekedudukan dan berzina dengan alasan apa yang dilakukan sudah ditentukan Allah selain manusia (artis) mempunyai ruang dan masa untuk bertaubat.

Akhil turut menyentuh mengenai ajaran sesat artis terbabit yang dipercayai menjadi pegangan melalui ajaran pelik dipercayai diperoleh daripada ‘guru ghaib’ yang sukar untuk dikesan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.

Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.

Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.

>Hanya dakwah, saling mengingati

PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

“Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

“Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

“Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

“Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

“Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

“Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

“Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...