Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat, Netizen Berbalah & Tuduh-Menuduh Gara-Gara Darah Nabi

Trending

Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat, Netizen Berbalah & Tuduh-Menuduh Gara-Gara Darah Nabi

darah-bekamKhurafat, wahabi, syirik dan pedagang agama antara tuduhan yang dilemparkan pengkritik dan pembela artifak darah bekam Rasulullah berusia 1400 tahun yang kini dipamerkan di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka.

Selepas gambar artifak daripada Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, artifak itu kini menjadi titik perdebatan di internet.

Advertisement

“Darah yang dia agung agungkan.. sepatutnya ditanam bukan tayang buat azimat camni! Kalau sayangkan nabi, sebarang milik anggota tubuh orang yang tiada patut ditanam.. Nabi manusia biasa perlu balik ke asal tanah.. ni dah salah akidah ni!” kata seorang pengguna Facebook, Hamzah Osman.

“Bukan diagungkan tapi ditunjukkan pada umatnya yang mencintainya.. wahabi ke?”, jawab Rizki Al Husaini Lubis.

“Astaghfirullahalaziim. Tak tahu ke kisah sahabat Nabi minum darah bekam Nabi?” sambut Nazmi Shamsudin pula mempertahankan kesucian artifak itu, “Tolong jangan guna akal kamu! Jangan ikut logik akal kamu!”

“Dah macam syiah dan suka sangat berlebih-lebih nak sembah benda macam ini,” tulis Eddy Lorenzo pula. Setakat berita ini ditulis, ruangan komen gambar berkenaan sudah mencecah 462 komen.

Majlis Agama Islam Melaka telah dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berkenaan artifak tersebut, lapor FMT.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin menjelaskan tujuan pameran itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghayati peninggalan Nabi Muhammad SAW dengan lebih dekat, terutamanya mereka yang tidak mampu ke luar negara.

“Tidak timbul soal khurafat. Tujuan pameran itu bukannya untuk menyembah bagi tujuan syirik. Lagipun kita tidak benarkan mana-mana pihak buat zikir serta pemujaan,” tegas Yaakub.

Selain daripada darah bekam itu, turut dipamerkan adalah lebih 40 lagi artifak Rasulullah termasuk rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, cop mohor dan kain penutup makam.

Sementara itu, penganjur pameran iaitu ANO Ventures Sdn Bhd melahirkan rasa dukacita pameran mereka dianggap boleh membawa kepada khurafat.

Berkenaan tuduhan mendagangkan agama melalui pengenaan bayaran masuk, timbalan pengurusnya, Shahrulnizam Baharudin berkata pameran mereka bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan.

“Lebih mengecewakan apabila seorang Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengatakan apa yang kami buat itu syirik, malah saya cuba hubungi sendiri beliau namun tidak berjaya,” dakwanya.

“Sekiranya pameran yang dilakukan pihak kami itu tidak betul dan khurafat kenapa seluruh agamawan yang datang tidak mempertikaikan atau mendakwa perbuatan itu khurafat.

“Kalau nak kata kami mahu keuntungan, kami rasa tidak berbaloi pun dengan harga tiket yang kami kenakan, kerana kos insuran barang-barang tersebut mencecah RM5 juta, malah caj tiket yang kami kenakan itu bertujuan pengurusan semasa sahaja,” katanya lagi.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...