Arahan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sebelum ini ternyata mencetuskan kebimbangan dalam rakyat Malaysia. Rata-rata bimbang dengan peningkatan kes wabak COVID-19 yang mungkin boleh mendatangkan gelombang kedua buat Malaysia.
Keputusan kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendapat perhatian Energesse, penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan antarabangsa yang beribu pejabat di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Dr Avnesh Ratnanesan mengingatkan bahawa gelombang kedua COVID-19 mungkin berlaku dan ternyata lebih mencabar dan menganggu corak perniagaan dan sosial dengan kelonggaran PKP di seluruh negara.
“Pendekatan yang longgar juga akan memberi kesan kepada petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas dengan PKP.”
Beliau yang merupakan warganegara Malaysia yang kini menetap di Australia menyediakan kaedah dan khidmat nasihat kepada perkhidmatan kesihatan Australia mengenai pengurusan pandemik ini dengan lebih berkesan.
Terlalu cepat
Beliau menjelaskan keputusan kerajaan membenarkan pekerja kembali bekerja bermula 4 Mei lalu dan tahap pengurangan yang dilakukan adalah terlalu cepat. Ini berikutan beberapa negara lain kini menghadapi gelombang kedua disebabkan kerajaan terlalu cepat berpuas hati dan menganggap mereka dapat mengendalikan gelombang pertama dengan baik.
Baca: Jepun Hadapi Gelombang Kedua COVID-19 Gara-Gara Tamatkan Perintah ‘Lockdown’ Terlalu Awal
“Sebahagian syarikat dapat mengekalkan produktiviti dengan bekerja dari rumah dan ini perlu terus digalakkan.”
Dalam banyak keadaan, ahli ekonomi dan ahli epidemiologi ternyata bersetuju berdasarkan model berasaskan data bahawa pendekatan secara berperingkat untuk mengurangkan sekatan adalah yang terbaik untuk perniagaan dan kesihatan. Kerajaan di seluruh dunia bergantung kepada unjuran matematik untuk membantu membuat keputusan dalam pandemik ini.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menggunakan lebih banyak data, model dan malah algoritma berasaskan AI untuk memaklumkan dan membantu membuat keputusan mereka. Ianya lebih baik daripada pendapat subjektif dari individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan awam.
Perlu kaji semula
Menurutnya, mereka kini membangunkan peralatan digital dinamakan PMme (Pandemic Management for me). Ianya merupakan alat sokongan keputusan dan audit yang disesuaikan untuk Ketua Pegawai Eksekutif penjagaan kesihatan dan pengarah di hospital dan perkhidmatan kesihatan.
Ia juga dapat membantu organisasi mengenal pasti jurang dan kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Selain itu, dapat membantu mereka memantau dan meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber yang terhad dengan berkesan.
“Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan minggu.”
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan ’Health Hour’ untuk individu yang digalakkan untuk melakukan aktiviti sukan. Tetapi ianya perlu mengambil masa hanya satu jam sehari dan dalam jarak satu kilometer dari rumah untuk bersukan sambil mengamalkan penjarakan sosial.
Langkah ini dapat berfungsi sebagai penambahbaikan kepada dasar untuk meningkatkan pemikiran kesihatan yang menyeluruh dan menyokong pembangunan imuniti.