Bukan sahaja penyanyi Siti Nordiana kagum ketika menyanyikan lagu duet ‘berhantunya’ dan Allahyarham Achik yang berjudul Memori Berkasih, bersama seorang lelaki dikenali sebagai ‘Khai Bahar’, malah netizen juga kagum dengan kelunakan vokalnya.
Lelaki tersebut yang berasal dari Sarawak telah menyertai Siti Nordiana yang lebih mesra dengan panggilan Nana itu berduet menerusi aplikasi ‘Smule’.
Agak memeranjatkan kerana vokal Khai dan Nana kedengaran sangat serasi ketika menyanyikan lagu tersebut.
Apatah lagi, sebelum ini Nana pernah mengeluarkan kenyataan sukar untuk mencari penyanyi lelaki yang mampu menyanyikan lagu ciptaan Patrick Khamis itu dengan baik.
Selain memuatnaik video nyanyian bersama Siti Nordiana di laman sosial Smule, Khai Bahar turut berkongsi paduan suaranya dan juara GegarVaganza musim kedua itu di akaun Youtube miliknya yang menggunakan nama ‘ Muhamad Khairul’.
Rata-rata komen yang ditinggalkan meminta Khai menjadi seorang penyanyi profesional dan menyertai pertandingan nyanyian serta program realiti TV.
Malah video duet Khai dan Nana juga telah ditonton oleh 287 ribu pengikut laman sosial Youtube.
Akaun Youtube Khai setakat ini mempunyai seramai 42 ribu ‘subscribers’ yang kebanyakannya peminat vokalnya.
Jom dengar gabungan mantap ini..