Seorang wanita yang maut selepas mendapatkan rawatan sedut lemak di sebuah salon kecantikan bertempat di Sunway Velocity Mall, Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut laporan Harian Metro, mangsa, Coco Siew Zhi Shing, melakukan prosedur sedut lemak yang berharga RM2,500 itu sebagai persediaan untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.
Dedah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly, mangsa dikatakan berkunjung ke pusat kecantikan itu pada jam 2.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak. Namun, pusat kecantikan yang dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya itu tetap meneruskan prosedur sedut lemak berkenaan selepas dikatakan menerima desakan daripada mangsa.”
Ujarnya, mangsa mengalami masalah kesukaran bernafas ketika menerima suntikan pada tangan, malah muka dan badannya pula khabarnya bertukar pucat sebelum pengsan.
“Pihak pusat kecantikan itu kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang. Susulan itu, kami menahan dua beranak berkenaan yang masing-masing berusia 49 dan 23 tahun bagi membantu siasatan.”
Difahamkan salon kecantikan berkenaan tidak mempunyai lesen klinik estetik yang sah dan hanya mempunyai lesen sebagai salon kecantikan biasa.
Malah, doktor estetik yang melakukan operasi juga tidak mempunyai lesen perubatan estetik profesional.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.”
Untuk rekod, pihaknya kini masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan.
Sumber: Harian Metro