Padah Jadi ‘Orang Tengah’ Pinjaman Hutang Judi, Lelaki Parah Diserang Guna Parang

Trending

Padah Jadi ‘Orang Tengah’ Pinjaman Hutang Judi, Lelaki Parah Diserang Guna Parang

Malang tidak berbau, itulah yang terjadi kepada seorang lelaki yang juga pembantu kedai selepas cedera parah diserang dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kafe di Jelutong.

Menurut laporan, mangsa yang berusia 20 tahun itu juga mengalami putus saraf dan salur darah akibat terkena benda tajam di bahagian tapak tangan kiri dan kedua lutut kaki selain luka di kepala.

Bagaimanapun mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Advertisement

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa yang berasal dari Jalan Van Praagh, Jelutong itu sedang bekerja di kafe milik ibunya itu ketika didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dan bersenjatakan parang.

Tambahnya, daripada keterangan rakannya, mangsa diserang kerana masalah hutang dan dia menjadi orang tengah kepada rakannya yang meminjam wang daripada individu lain dalam urusan permainan judi kasino tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, rakan mangsa telah melarikan diri menyebabkan mangsa sering didatangi lelaki yang menagih hutang rakannya itu.

“Serangan pada semalam bukan kali pertama kerana mangsa mendakwa, dia didatangi empat lelaki untuk menagih hutang dua bulan lalu”

Ujarnya, ketika itu mangsa tidak dicederakan selepas memberitahu bahawa rakannya itu telah melarikan diri.

Soffian berkata, suspek telah memberitahu mangsa bahawa rakannya telah berhutang sebanyak RM60,000 dengan seorang individu.

“Ketika kejadian, mangsa seorang diri manakala ibunya berada di belakang kafe. Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan suspek terus melarikan diri”

Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada senjata ditemui dan premis itu juga tiada kamera litar tertutup (CCTV).

“Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan menggunakan senjata,” katanya.

SUMBER

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...