Seorang wanita menerima hukuman denda 50,000 Saudi Riyal (RM 55,196) di sebuah mahkamah kerana telah menghasut rakannya untuk bercerai dengan suami.
Dalam masa yang sama, tertuduh juga menghasut rakannya untuk mencari pasangan lain.
Gulf News melaporkan mahkamah membuat keputusan selepas mendapati tertuduh bersalah kerana cuba menghancurkan perkahwinan yang dibina rakannya.
Kemenangan itu berpihak kepada suami yang memfailkan saman dan menuntut ganti rugi terhadap wanita berkenaan apabila menyedari ada cubaan untuk memporak-perandakan rumah tangganya.
Tambahan, lelaki itu juga mendakwa tertuduh menghasut dan mendesak isteri untuk tidak mentaatinya.
“Dia turut menasihatkan isteri saya supaya mencari pasangan yang lebih baik. Malah, dia juga mendesak isteri saya supaya tunjukkan kepada saya siapa yang lebih berkuasa”.
“Jelas sekali, dia ada niat untuk menghancurkan rumah tangga kami”.
Susulan itu, hakim menasihati pasangan tersebut untuk sentiasa mempertimbangkan nasihat yang diberi oleh pihak lain.
“Mereka diminta meneliti terlebih dahulu mana-mana nasihat yang harus diambil perhatian serius dan apa nasihat perlu diabaikan”.
Tindakan sebegitu perlu untuk menutup ruang kepada pihak ketiga yang cuba merosakkan atau memporak-perandakan rumah tangga mereka.