Seorang remaja ditahan polis Sarawak selepas video provokasi berkenaan isu serangan udara Israel ke atas Gaza viral di media sosial. Menerusi sesi langsung tersebut, remaja ini didakwa mempersoalkan penentangan rakyat Malaysia ke atas serangan tersebut.
Tanpa menyembunyikan identiti, remaja ini dikatakan meluahkan persoalan mengenai sokongan umat Islam terhadap Palestin dengan mendakwa mereka tidak cukup ilmu.
Memetik laporan Astro Awani, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, remaja ini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.
“Kita telah mendapatkan perintah reman terhadapnya selama empat hari, sehingga 22 Mei.”
Malah, remaja yang menggunakan akaun Facebook ‘Meofisherman’ ini didakwa turut membuat provokasi ke atas individu lain. Perkara tersebut telah menyebabkan rumahnya di Taman Sukma, Kucing, Sarawak diserbu penduduk.
Menerusi video viral tersebut, remaja ini dilihat dikepung orang ramai sehingga dipukul beberapa individu. Tambah Aidi lagi, selain isu ini, pihaknya memandang serius insiden lebih 15 orang berkumpul beramai-ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Untuk ini, pihak polis telah membuka satu lagi kertas siasatan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana telah terkesan melakukan aktiviti terlarang melebihi lima orang berkumpul beramai-ramai.”
Jelasnya, individu yang terlibat dilihat tidak menggunakan pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.