Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan empat motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), malam Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan turut menyebabkan dua mangsa parah.
Difahamkan, kesemua penunggang sedang berlumba haram dari arah Laguna Park, Pulau Indah sebelum dua motosikal bergesel sesama sendiri dan terjatuh di atas jalan raya.
Dua lagi motosikal yang berada di belakang gagal membrek dan merempuh motosikal yang telah terjatuh itu.
Akibat kemalangan itu, dua lelaki termasuk seorang pelajar, masing-masing berusia 25 dan 15 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera parah merupakan seorang pelajar berusia 24 dan 15 tahun dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, tular di Facebook rakaman ketika kemalangan itu baru sahaja berlaku dirakamkan oleh pengguna jalan raya. Video itu memaparkan dua lelaki yang maut itu terbaring dan turut kelihatan ketulan daging mangsa di atas jalan itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.