Pada usia 20 tahun dan di saat ramai rakan sebaya melanjutkan pelajaran atau bekerja makan gaji, Muhammad Hazim Mohd. Akhir gigih mencari rezeki sebagai pekebun sawit.
Muhammaf Hazim merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bekerja di kebun sawit terletak di Tapah, Perak yang berkeluasan 16 hektar milik keluarganya.
Menurut Kosmo, Muhammad Hazim mampu meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit tersebut selain pajakan.
Cerita Muhammad Hazim, seawal usia 12 tahun dia sudah mula membantu bapanya di ladang sawit kerana minat selain kasihan melihat ayahnya bersusah payah bekerja setiap hari dari waktu subuh sampai ke petang.
Ada yang kata sektor pertanian ini kotor, bahaya dan sukar, namun sekiranya kita membuat perancangan teliti ia tidak seperti yang digambarkan.
Bapanya sentiasa memantau aspek pengurusan ladang bermula dari meracun, membaja, mengait buah sehinggalah ke kilang memproses buah dan dibantu dua pekerja.
Muhammad Hazim juga turut mengusahakan tanaman anak pokok kelapa sawit sebagai persediaan penanaman semula komoditi itu yang tidak lagi bersifat ekonomi.
Katanya, harga sawit RM890 hingga RM950 satu tan selain pengurusan kawalan perosak yang baik turut memberi prospek pendapatan yang stabil sepanjang tahun.
Sebahagian besar gaji disimpan untuk membeli tanah bagi menambah tanaman sawit. Setakat ini, saya pendam dulu keinginan untuk membeli kereta mewah dan gajet canggih.
Ujar Muhammad Hazim, dia mahu menggunakan wang yang dimilikinya untuk menambah aset selain turut berazam untuk memiliki kediaman dan tanah sendiri sebelum mendirikan rumah tangga.
Tambah pemuda itu, selain ladang kelapa sawit dia turut mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang dan ternakan ruminan.