Bekas isteri kepada vokalis kumpulan Bunkface, Aida Azira Hussin memaklumkan dia enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Sam dalam laman Instagram miliknya pada Sabtu lalu.
Maklum Aida yang ditemui BH Online, dia tidak mahu memanjangkan isu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan keputusan selanjutnya.
Saya tak nak komen apa-apa. Saya sedar hanya orang biasa dan tiada pengaruh. Jadi sekarang tidak perlu saya mendedahkan perbualan Whatsapp atau seumpamanya kerana tak perlu untuk saya panjangkan isu ini.
Tambahnya lagi, dia tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak dan hanya menyelesaikan sekaligus menamatkan perkara itu.
Dia dalam pada itu percaya yang orang ramai akan mengetahui kebenaran di sebalik isu yang dihadapi mereka pada ketika ini.
Insya-Allah, hakim dan peguam akan tahu hakikat sebenar, begitu juga orang sekeliling pun akan tahu juga nanti. Jadi, selagi boleh pertahankan, kita harus pertahankan hak. Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak.
Aida juga menegaskan bahawa segala keputusan dan tindakan yang dibuat adalah demi kepentingan dan kebajikan anak.
View this post on Instagram
Terdahulu, Sam dan Aida telah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.
Aida difahamkan tidak bersetuju dengan permohonan Sam untuk mengurangkan nafkah bulanan anak mereka. Vokalis kumpulan Bunkface itu kemudian ada memuat naik satu hantaran video di mana dia menafikan dakwaan bekas isterinya itu yang mengatakan dia mengabaikan tanggungjawab dan nafkah anak.