Siapa tidak kenal dengan gadis yang berasal dari Sabah, Veveonah Mosibin, yang sebelum ini pernah tular di pelusuk media sosial mengenai kisahnya yang sanggup bermalam seharian di atas pokok semata-mata untuk menjawab peperiksaan online.
Tidak kurang juga, semangat anak jati Kampung Pitas, Sabah ini turut pernah ‘dibawa’ ke parlimen hingga mencetuskan pelbagai respon berbeza daripada pihak-pihak berautoriti.
Terbaru, Veveonah dikhabarkan kecewa apabila beliau kini bagai tidak terlepas menjadi mangsa buli siber selepas dirinya bertindak memuat naik satu gambar tangkap layar (screenshot) di laman Facebook miliknya yang memaparkan satu komen yang terkandung kata-kata berbaur hinaan terhadapnya.
Lebih mengejutkan, individu tidak bertanggungjawab itu turut menyifatkan gadis itu sebagai miskin dan hanya mahu meraih simpati masyarakat dengan memaparkan kepayahan hidupnya.
Veveonah di dalam kapsyennya menulis, meluahkan rasa kecewa terhadap gejala buli siber dan merasakan golongan pembuli ini yang sebenarnya mempunyai masalah.
Saya terbangun dengan notifikasi ini. Tolonglah, hentikan buli siber. Jangan suka menghukum. Jangan menyebarkan kebencian.
Seperti sudah dijangka, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya dilihat tetap memberikan semangat kepadanya agar tidak mudah putus semangat hanya kerana komen seperti itu. Malah wujud juga segelintir pihak yang tampil mempertahankan gadis tersebut agar sentiasa kuat mengharungi segala ujian yang menimpa dirinya.