Keresahan rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke bandar setelah sebulan berada di kampung halaman kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diambil kira oleh pihak kerajaan. Pelbagai aduan diterima oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan hal ini dan perancangan telah pun dikaji untuk memberikan kebenaran pulang.
Sebelum pelaksanaan PKP dijalankan secara rasmi di seluruh negara, rata-rata rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk ‘lari’ ke kampung masing-masing. Oleh kerana tempoh PKP yang dipanjangkan sehingga fasa ketiga ini, keresahan mereka semakin meningkat.
Namun setelah sebulan berada di kampung, pihak MKN dibanjiri dengan aduan orang ramai yang tiada pakaian yang hendak dipakai, kebimbangan rumah dipecah masuk dan ada juga sesetengah yang mengadu bahawa mereka sudah boleh mula untuk bekerja seperti biasa.
Tambahan pula, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan untuk memberi kelonggaran kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) untuk diberi kebenaran pulang ke rumah masing-masing.
Namun, perkara ini tidak boleh disamakan kerana situasi yang dialami oleh pelajar IPT adalah berbeza dengan orang yang tinggal di kampung dan ingin pulang ke kota.
Proses untuk membawa pulang pelajar IPT lebih mudah kerana pihak universiti mengetahui jumlah pelajar yang berada di dalam kampus serta tahap kesihatan pelajar tersebut yang sentiasa dipantau.
Pada peringkat awal, MKN hanya menasihati kepada mereka yang ingin pulang ke tempat masing-masing setelah berada di kampung untuk membuat lapor diri di mana-mana balai polis terdekat.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan aplikasi terbaru ‘Gerak Malaysia’ untuk digunakan sebagai medium melaporkan diri secara dalam talian. Permohonan untuk pulang boleh dilakukan secara online dengan menyatakan nama, jumlah ahli yang akan dibawa dan sebagainya serta dari lokasi mana dan hendak ke mana.
Permohonan di balai polis yang berhampiran juga boleh dilakukan dan untuk mengelakkan kesesakan di dalam balai polis, temu janji perlu dibuat dahulu supaya proses kebenaran dapat diberikan dengan lancar. Perancangan ini bagaimanapun masih lagi dalam kajian awal dan akan dilaksanakan paling awal selepas 1 Mei ini.