Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang kini giat menyerbu premis perniagaan yang menyalahi undang-undang, menerusi operasi bersepadu di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, dikatakan umpama misi ‘membalas dendam’ oleh sebahagian peniaga di kawasan itu.
Zaidi Abdul Jalil salah seorang peniaga yang turut terjejas, melahirkan rasa kesal apabila MBSA tidak memberikan notis secukupnya kepada mereka sebelum menjalankan operasi berkenaan.
“Sejak dua tiga hari ini, operasi MBSA terlalu drastik, cara mereka bertindak ini seperti mahu membalas dendam. Bila ada orang mengadu, dia (MBSA) bertindak balas.”
Bagi seorang peniaga nasi lemak, Ramlah Yakub pula, tindakan MBSA merobohkan gerainya, menyebabkan sumber mata pencariannya terputus kerana dia baru sahaja sebulan kembali berniaga selepas terpaksa menutup gerai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dulu tidak dapat berniaga selama tiga bulan disebabkan Covid-19, dan sekarang baru dapat sebulan berniaga, tiba-tiba jadi macam ini. Kami para peniaga ni pun terpaksa meminjam dengan Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor). Bila dah kena tutup, macam mana nak bayar semua.”
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, dalam sidang medianya menyatakan operasi berkenaan dijalankan bagi menangani masalah peniaga yang melanggar peraturan dan berniaga tanpa lesen di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Katanya, sebanyak 101 notis dikeluarkan ke atas premis-premis di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Baca: 101 Notis Dikeluarkan MBSA Kepada Pemilik Premis Bina Struktur Tambahan Tanpa Kebenaran
Dalam operasi itu juga, MBSA turut merobohkan struktur tambahan pada premis perniagaan yang dibuat tanpa kelulusan MBSA seperti struktur dinding, lantai, kaki jalan serta sengkuap.
Seramai 230 anggota MBSA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor turut serta dalam operasi bersepadu itu.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.