OpenSys Technologies telah memperkenalkan PalmWav™, sebuah prototaip sistem pembayaran baharu yang menggunakan pengecaman tapak tangan sepenuhnya, sekali gus membolehkan pengguna melakukan transaksi tanpa memerlukan dompet, kad fizikal atau telefon pintar, memetik Technave.
Sistem inovatif itu dibangunkan selari dengan piawaian keselamatan moden, merangkumi ciri tokenisasi pembayaran, penyulitan hujung ke hujung serta pemantauan penipuan secara masa nyata bagi memastikan keselamatan data dan transaksi pengguna.

Bagi pengguna yang berminat, pendaftaran profil tapak tangan boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih atau secara terus di lokasi perintis. Selepas proses pendaftaran selesai, pengguna hanya perlu mengimbas tapak tangan pada terminal khas untuk membuat pembayaran.
Menariknya, PalmWav™ direka agar serasi dengan infrastruktur pembayaran sedia ada di Malaysia, termasuk MyDebit di bawah rangkaian PayNet, sekali gus memudahkan integrasi tanpa memerlukan perubahan besar kepada sistem pembayaran semasa.

Dari segi teknologi, PalmWav™ memanfaatkan kepakaran kecerdasan buatan (AI) daripada Tencent Cloud, yang menghasilkan “tandatangan tapak tangan” unik bagi setiap pengguna dalam bentuk templat sulit dan dilindungi.
Ketika ini, sistem tersebut telah diuji di beberapa lokasi perintis termasuk Kom.Fi Café di Kuala Lumpur dan Bread Maison di Petaling Jaya, bagi mempamerkan kelancaran proses pendaftaran serta kepantasan transaksi dalam situasi dunia sebenar.
Menurut OpenSys, PalmWav™ turut boleh disepadukan dengan program kesetiaan dan ganjaran, sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga dan pengguna. Sistem ini juga direka untuk berskala besar dengan keupayaan menyokong jutaan pengguna pada masa hadapan, sejajar dengan perkembangan ekosistem pembayaran digital negara.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
