Susulan kini Kampung Geliga Baru, Terengganu sedang alami fenomena air pasang besar dan angin kencang sejak Sabtu malam, penduduk setempat mengakui tidak lena sewaktu tidur kerana bimbang memikirkan rumah dibadai ombak besar.
Fenomena air pasang besar & angin kencang buat penduduk tak tidur lena
Menurut salah seorang penduduk kampung yang bernama Ibrahim Zakaria, 67, dia bersama dua orang ahli keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang bertempat di Balai Raya Geliga Pantai pada Sabtu susulan beberapa keping atas rumahnya tercabut kerana angin kencang.
Tambahannya lagi, ombak besar tinggi 2 meter juga telah menyebabkan kawasan di belakang dapur terhakis teruk.
Memang rumah saya sering terjejas akibat hakisan setiap kali ombak besar pada musim monsun, tetapi sepanjang 30 tahun di sini, ini kali pertama tengok ombak yang sangat besar, bergulung-gulung seakan-akan mahu menelan rumah dan penduduk.
Kata Ibrahim lagi, dia menunggu ombak di pantai betul-betul reda dan selamat, baru dia pulang untuk memeriksa keadaan rumahnya.
Rumah bergegar dipukul ombak
Dalam pada masa yang sama, seorang lagi penduduk kampung itu yang bernama Juliana Ariffin, 45, berkata dia dan suami terpaksa berpindah ke PPS sekitar jam 7.30 malam, Sabtu, kerana rumahnya bergegar dipukul ombak.
Suami hanya mampu melaungkan azan dan takbir. Pagi tadi suami pulang sekejap untuk memeriksa keadaan rumah. Sebelum ini di belakang rumah saya ada lima kediaman, tetapi semuanya dah runtuh akibat hakisan dan dipukul ombak.
Susulan fenomena air pasang besar dan angin kencang ini, Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria menasihati orang ramai untuk tidak menghampiri kawasan pantai kerana situasi ini akan memberi risiko buat sesiapa sahaja yang ada di kawasan berhampiran.