Asam garam menjadi anak seni, sudah pasti hal peribadi akan mendapat perhatian ramai. Pun begitu, pelakon Oktovia Manrose mengakui bahawa dia lebih suka berkongsi mengenai soal kerja berbanding kisah peribadinya.
Tetapi jelasnya, dia langsung tidak pernah menyorokkan status sebagai ibu tunggal yang sudah hampir 8 tahun digalasnya.
Bahkan, Oktovia tidak segan untuk mengakui hal tersebut malah tidak malu dengan status ‘janda’ yang dipegang kerana baginya penceraian itu adalah lumrah kehidupan.
Bagi yang tidak tahu, perkahwinan pelakon itu yang dibina pada tahun 2011 hanya mampu dipertahankan selama 2 tahun sahaja dan dia dikurniakan seorang anak lelaki bernama Rayyan.
Meskipun berkahwin ketika berusia 20 tahun, Oktovia tidak serik untuk bercinta lagi malah menjelaskan bahawa dia ada menjalinkan hubungan selepas perpisahan itu.
“Saya pernah menjalinkan hubungan dua kali selepas bercerai. Bagaimanapun, perhubungan ini tidak ke mana. Bukan trauma mahu berkahwin semula, tetapi selagi lelaki tidak menunjukkan kesungguhan dan serius dalam perhubungan, saya akan bersikap seperti biasa dan tidak berlebihan.”
Membesarkan anak sendirian ternyata bukan merupakan suatu perkara yang mudah, malah pelakon wanita itu mengakui bahawa ada kalanya dia berasa sunyi. Namun dengan kehadiran anak dan ahli keluarga lain, kesunyiannya itu mampu dilupakan untuk seketika.
Melihatkan adiknya sendiri iaitu Aprena Manrose dipertemukan dengan jodoh yang baik dan memahami, Oktovia juga sering berdoa agar berjumpa dengan lelaki yang baik untuknya.
“Andai ditakdirkan hati saya sudah terbuka menerima lelaki dalam hidup, saya tidak akan bercinta lama dan mahu terus berkahwin.”
Malahan Oktovia menunjukkan dedikasi yang baik kerana mampu menjaga anaknya sendirian dan dalam masa yang sama cuba membawa watak yang mampu dihargai dan diingati oleh orang ramai.