Pempengaruh dan usahawan terkenal, Ojen Aiwah mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM246,611 daripada seorang wanita yang menawarkan khidmat sebagai ‘personal shopper’ untuk perniagaan kunafah miliknya.
Buat resit palsu
Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli berkata, wanita yang berusia 35 yang berasal dari Sabah itu dipercayai menggunakan helah licik dengan mengemukakan lebih 200 resit pembayaran palsu bagi tujuan tempahan.
Saya jadi mangsa ‘scammed’ oleh seorang yang membuat khidmat PS (personal shopper) Kunafah Aiwah sebanyak hampir suku juta.
Setakat ini, wanita dari Sabah berusia 35 tahun itu menipu sebanyak RM246,611 menggunakan resit palsu, salah laku menukar dan menyunting resit palsu (CIMB dan Maybank). ‘Scam’ melalui pindahan wang bukan Qr pay.
Kata Ojen, wanita itu merupakan bekas kakitangan di salah sebuah bank di Sabah namun telah diberhentikan kerja.
Wanita ini terlalu licik dan bijak, resit palsu memang sama macam resit sebenar, tarikh, masa, jumlah pembelian semua sama. Dia adalah bekas kakitangan di salah satu bank di Sabah, namun sudah dibuang kerja.
Menerusi video yang dikongsi di Instagramnya, usahawan itu dilihat bersemuka dengan wanita terbabit sambil menuntut agar bayaran segera dilunaskan.
Menurutnya, insiden ini amat mengecewakan kerana ia memberi tamparan hebat terhadap usaha keras dia dan staf dalam mengembangkan perniagaan makanan itu.
Terus terang semalam saya dah hilang sabar sebab saya dan kakitangan penat berniaga, nak patah tulang belakang bakar kunafah. Namun saya pasti Allah akan bantu, Allah akan bagi lebih lagi dan ada hikmahnya.
Tapi saya tidak akan lepaskan wanita ini sewenang-wenangnya. Saya akan pastikan dia meringkuk dalam penjara dan tidak lagi meneruskan modus operandi. Saya taknak peniaga lain atau lebih ramai orang lain lagi terkena nasib yang sama.
Ojen buat laporan polis
Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah berhubung penipuan terbabit.
Ojen turut memaklumkan sebanyak RM69,300 telah dipulangkan oleh wanita itu namun fokus Ojen kini bukan lagi terhadap wang semata-mata namun dia mahu wanita itu dipenjarakan.
Saya ada minta izin dan nasihat daripada pegawai polis adakah saya boleh viralkan muka dia? Jawapannya, ‘silakan sangat boleh, lagi-lagi ini kes membabitkan diri sendiri bukan orang lain’.
Tapi hari ni saya masih baik lagi ‘censored’ muka dia. Saya tunggu dia bayar duit saya sedikit pada hari Selasa ini berjumlah RM64,000. Kalau tak dapat, saya teruskan viralkan muka pula.
Sekarang saya dah tak hairan pasal duit dah. Yang penting saya nak dia ke lokap dan kena bagi pengajaran. Kalau saya tak ambil tindakan, berapa ramai lagi yang akan jadi mangsa.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.