Tegas mendedahkan kepada umum bahawa dirinya sering menerima mesej berbaur negatif seperti dihujani kata-kata kesat daripada individu yang tidak dikenali di Instagram, pelakon Noorkhiriah akhirnya tampil membongkar kisah itu di laman tersebut.
Menurutnya, beliau langsung tidak mengetahui motif sebenar individu yang menggunakan nama samaran sebagai P.Ramlee apabila mengirimkan mesej tersebut setiap hari kepadanya.
“Akak tak marah, cuma sila take note. Tolonglah jaga jari daripada berterusan buat dosa. Maaf, akak tak tutup nama dia. Sebab mamat ini macam sakit mental ke apa ke tak pasti. Tapi hari-hari hantar maki.”
Dalam entri berkenaan, Khiriah turut berkongsi paparan tangkap layar mesej yang diterimanya yang memanggilnya dengan nama ‘b*bi’. Katanya, kemungkinan besar individu tersebut sengaja mahu mencuri perhatiannya untuk meraih pengikut.
“Marah pun tak guna cuma apalah yang terbuku di hati mamat ni agaknya. Rajin betul hari-hari hantar maki kepada akak. Mungkin nak pengikut kot. Sesiapa rajin pergi follow ya.”
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, turut kelihatan pengacara Fiza Sabjahan juga tidak ketinggalan tampil mengaku dirinya juga menjadi mangsa dan menerima gangguan yang sama daripada pemilik akaun tersebut.
“Saya pun dapat yang sama daripada orang yang sama kak.”
Bagaimanapun, tampil profesional, Khiriah difahamkan tetap memaafkan individu tersebut atas perbuatannya itu. Malah turut menasihatkan individu tersebut agar sentiasa bersopan santun dan beradab apabila berkomunikasi dengan orang lain.