Masuk hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan hari ini, sudah semakin banyak premis makanan dan pasaraya yang mewajibkan pengunjung beratur untuk membeli. Peraturan baru ini juga mewajibkan orang ramai mengekalkan jarak diantara satu sama lain sebagai langkah pencegahan.
Begitu juga yang dilakukan di pasar moden Seksyen 6, Shah Alam ini apabila orang ramai diminta mengekalkan jarak 1 meter diantara satu sama lain. Malah hanya 50 pengunjung sahaja yang dibenarkan berada di dalam pasar pada satu masa.
Ada juga yang mencadangkan supaya setiap pengunjung hanya diberi masa selama 20 ke 30 minit bagi memberi peluang kepada yang lain pula. Hanya seorang pengunjung sahaja yang dibenarkan membeli barang keperluan untuk setiap keluarga seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Selain daripada pasar moden seksyen 6 ini, beberapa kawasan lain di Shah Alam juga dilaporkan turut mengamalkan kawalan ketat sebagai langkah pencegahan. Beberapa kawasan turut meminta orang ramai untuk beratur pada jarak yang selamat.
Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan sehingga hujung bulan ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac yang lalu. Hari ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa bantuan dan inisiatif yang diberikan untuk meringankan beban rakyat sepanjang tempoh ini.
Artikel berkaitan: (TERKINI) Perdana Menteri Umumkan Bantuan Untuk Meringankan Beban Rakyat Hadapi COVID-19