Terkesan dengan bencana yang menimpa di beberapa lokasi, penyanyi terkenal Ismail Izzani nekad turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat sejak kelmarin.
Usaha murni yang dikongsi Ismail menerusi sebuah hantaran di laman Instagram itu memaparkan dia membantu penduduk setempat dengan membersihkan kediaman mangsa banjir di sekitar kawasan terjejas.
Disebabkan usaha murni tersebut, ramai yang memuji Ismail kerana menjadi antara selebriti terawal mengerah keringat membantu penduduk yang terkesan akibat bencana alam tersebut.
Bukan itu sahaja, Ismail turut dipuji kerana tidak kisah bermandi lumpur dalam membantu meringankan beban golongan yang terjejas.
Terima kasih Ismail. Lebih berfungsi daripada pihak atas lain. – pengguna Twitter
Sehingga kini, pemilik nama penuh Ismail Izzani Zainal Nazeri itu masih menjadi bualan orang ramai dalam media sosial khususnya laman Twitter.
Sekadar info, negara dikejutkan apabila beberapa daerah di Selangor khususnya Shah Alam, Klang dan Hulu Langat dilanda banjir kilat pada 18 Disember lalu sehingga mengorbankan lebih 10 nyawa.