Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas kesihatan merupakan antara individu yang terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia. Ramai yang menyaksikan siaran secara langsung proses suntikan vaksin Covid-19 tersebut.
Namun, ada segelintir individu yang mempersoal berkenaan ‘isu tukar jarum’ yang digunakan oleh jururawat untuk memberi suntikan kepada Perdana Menteri. Ada yang kata proses suntikan itu hanya helah semata-mata.
Oleh itu, seorang doktor perubatan yang dikenali sebagai Dr. Arisman menjelaskan isu berkenaan di akaun Facebook miliknya
Menurutnya, jarum yang bersaiz lebih besar ialah untuk menarik masuk ubat dari vial vaksin. Ini supaya proses akan lebih cepat dan mudah untuk menarik ubat masuk ke dalam picagari. Ada yang pakai warna biru bersaiz 23G dan ada juga lebih besar iaitu warna hijau bersaiz 21G.
Selepas ubat masuk dalam picagari, petugas kesihatan akan menukar jarum baharu kepada saiz yang lebih sesuai dengan tempat suntikan dan saiz badan individu tapi picagari tidak tukar, hanya jarum sahaja.
Dia juga ada memberikan contoh kepada individu yang membuat suntikan di bahagian lengan, jenis jarum suntikan yang digunakan juga berbeza contohnya jarum berwarna biru untuk yang berbadan besar tapi kebiasaannya petugas kesihatan akan memilih jarum berwarna oren kecil bersaiz 25G.
Pemilihan jarum untuk suntikan amat penting kerana setiap saiz dan jarum berbeza diameter dan panjang. Doktor ini juga menjelaskan kenapa perlu menukar jarum sewaktu memberi suntikan kepada sesorang individu. Ini bertujuan untuk mengelakkan infection pada lapisan bawah kulit.