Usahawan terkenal Khairul Aming tampil menjawab dakwaan segelintir netizen yang mendakwa pempengaruh lebih mudah mendapat slot tempahan untuk menjamu selera di restorannya, Rembayung.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Khairul Aming atau mesra disapa KA menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan menjelaskan bahawa jumlah pempengaruh yang pernah berjaya membuat tempahan ke restoran itu sebenarnya sangat terhad.
“Kenapa pempengaruh dapat banyak tempah? Mana ada banyak,” katanya menjawab salah satu pertanyaan netizen ketika sesi siaran langsung berkenaan.
Menurut KA, setakat ini hanya dua orang pempengaruh yang dikenalinya berjaya mendapatkan slot tempahan, itupun melalui usaha sendiri tanpa sebarang keistimewaan.
“Setakat ini ada dua sahaja yang saya kenal. Itu pun Cupcake Aisyah, dia battle sendiri. Yang kedua Sam.
“Dua itu sahaja yang saya nampak. Yang lain tiada,” jelasnya.
Mengulas mengenai seorang lagi pempengaruh, Azfar Heri, KA menjelaskan individu tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai pelanggan biasa kerana sudah terlibat sejak fasa awal persediaan restoran berkenaan.
“Azfar Heri itu tolak tepi lah sebab dia dari fasa simulasi kedai lagi sudah ada,” katanya lagi.
Penjelasan itu sekali gus menepis tanggapan kononnya pempengaruh diberikan layanan istimewa atau keutamaan untuk membuat tempahan di restoran berkenaan.
Sejak mula beroperasi, Rembayung sering menjadi tumpuan orang ramai sehingga slot tempahan sentiasa penuh dan ramai pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk menikmati hidangan di restoran milik KA itu.
Sebelum ini, KA juga beberapa kali menegaskan bahawa sistem tempahan di restorannya adalah sama rata untuk semua pelanggan tanpa mengira status atau pengaruh di media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
